Handal Indah akan kedalikan myBAS Johor Bahru



SPAD MEMETERAI KONTRAK myBAS JOHOR BAHRU

11 April 2018, Johor Bahru – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada hari ini
telah memeterai kontrak bersama Handal Indah Sdn Bhd (Handal Indah) yang menandakan
pra-pelancaran perkhidmatan myBAS Johor Bahru di bawah program Transformasi Bas
Berhenti-henti (SBST).

Kontrak tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi SPAD, Puan Qamar Wan
Noor, dan Pengarah Urusan Handal Indah, En. Lim Han Weng. Pemeteraian kontrak tersebut
telah disaksikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Sri Mohamed Khaled Nordin dan
Pemangku Pengerusi SPAD Tan Sri Datuk Seri Utama Mohd Isa Abdul Samad.

Perkhidmatan myBAS di Johor Bahru akan memperkenalkan 27 laluan utama dan perantara
yang mencecah jarak perjalanan 16.8 juta kilometer setahun, dengan kekerapan setiap 20
minit berbanding kekerapan setiap 30 minit sebelum ini. Ini akan membolehkan pengguna
di Johor Bahru dan kawasan sekitar untuk menikmati perkhidmatan bas yang boleh
dipercayai dan serta lebih menyeluruh.

Sebanyak 249 bas terdiri daripada 222 bas diesel dan 27 bas elektrik, akan dimasukkan ke
dalam perkhidmatan myBAS Johor Bahru secara berperingkat, bermula daripada suku ketiga

2018 sehingga suku kedua 2019. Pelaksanaan perkhidmatan ini akan mengutamakan laluan-
laluan yang mempunyai jumlah penumpang yang tinggi. Manakala fasa terakhir akan

memperkenalkan penggunaan bas elektrik. Handal Indah sebagai Pengendali Rangkaian
(Network Operator) akan mengendalikan laluan-laluan tersebut dan akan disokong oleh
pengendali-pengendali tempatan.

myBas Johor Bahru akan menggunakan empat jenis bas, termasuk bas panjang yang
mempunyai kapasiti 65 penumpang (berdiri dan duduk), bas ‘midi’ berkapasiti 50
penumpang, bas mini berkapasiti 30 penumpang dan bas elektrik saiz panjang dengan
kapasiti bagi 65 penumpang.

Kerajaan Pusat telah memperkenalkan program SBST melalui SPAD pada 2015 di ibu negeri-
ibu negeri bermula dengan Kangar, Seremban, Ipoh dan baru-baru ini di Kuala Terengganu.

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk mempertingkatkan pengangkutan
awam darat, mobiliti dan akses rakyat bagi kawasan-kawasan di mana bas berhenti-henti
masih menjadi mod pengangkutan awam darat yang utama.

Di bawah model ini, SPAD sebagai agensi perancang akan bertanggungjawab ke atas
rangkaian bas, kos operasi dan akan menerima kutipan tambang. Pengendali pula akan
dibayar mengikut Kos Pengendalian Kenderaan (Vehicle Operating Cost, VOC) bagi setiap
kilometer dan perlu mematuhi tahap perkhidmatan yang dipersetujui di dalam kontrak bagi
memastikan penumpang dapat menikmati kesaling hubungan dan kebolehpercayaan
perkhidmatan yang lebih baik.

Pada Januari 2017, Kerajaan Pusat telah meluluskan pelaksanaan program SBST bagi
kesemua ibu negeri-ibu negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. myBAS Johor Bahru
adalah pelaksanaan terbaru program ini.

Program SBST bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan bas berhenti-henti yang selamat,
relevan dan boleh dipercayai, serta bagi meningkatkan nilai perkhidmatan bas di dalam
jangka masa panjang. myBAS juga akan menyediakan perkhidmatan bagi laluan-laluan sosial
yang sebelum ini tidak mempunyai perkhidmatan bas. Perkhidmatan myBAS sehingga
Februari 2018 telah mencapai jumlah penumpang terkumpul seramai 10.6 juta orang bagi
Kangar, Seremban dan Ipoh. Secara keseluruhan, terdapat 56 laluan myBAS bagi Kangar,
Seremban, Ipoh dah Kuala Terengganu dengan jumlah jarak terkumpul 1,723km.

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap