SPAD akan nilai kerosakan pengangkutan awam akibat banjir

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan ke Kelantan Jumaat ini bagi menilai kerosakan pengangkutan awam di negeri itu yang terjejas akibat banjir sebelum mengesyorkan bentuk atau jumlah peruntukan bantuan yang boleh diberikan oleh kerajaan kepada mereka.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata, pengangkutan awam yang dimaksudkan itu membabitkan perkhidmatan rel, teksi/kereta sewa, bas henti-henti dan bas sekolah.

“Buat masa ini saya tak tahu sejauh mana kerosakan itu. Apa yang saya tahu banyak bas ekspres, henti-henti, bas sekolah serta kereta sewa yang musnah atau mengalami kerosakan teruk akibat banjir. Kita akan minta mangsa terbabit mengemukakan kepada SPAD nilai kerosakan sebelum kami mengesyorkan bantuan kepada kerajaan,” katanya.

Syed Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bernilai RM126,500 daripada pengendali-pengendali industri pengangkutan awam dan badan bukan kerajaan untuk diserahkan kepada mangsa banjir di ibupejabat SPAD di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia adalah penyumbang terbesar dengan jumlah RM50 ribu, diikuti The Combined Bus Services Sdn Bhd yang memberi sumbangan RM30 ribu, Sunlight Taxi RM20 ribu, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) sebanyak RM10ribu. 

Penyumbang-penyumbang lain ialah Syarikat Pengangkutan Maju Berhad (RM5ribu), Transit Link (Johor Bharu) Sdn Bhd (RM5ribu), Syarikat Kenderaan S & S Sdn Bhd, Pan –Malaysia Lorry Owner’s Association masing-masing menyumbang RM2ribu. Manakala lain-lain pihak sebanyak RM2,500.

Menurut Syed Hamid, SPAD juga akan menilai kerosakan landasan kereta api di seluruh negeri itu yang paling terjejas teruk akibat banjir. Katanya SPAD berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan darurat untuk memperbaiki segera landasan keretapi di seluruh negeri Kelantan.

Katanya peruntukan segera diperlukan kerana untuk kerja-kerja membaiki landasan akan mengambil masa paling cepat 18 bulan. Sehubungan itu Syed Hamid berharap kerajaan dapat mengetepikan karenah birokasi.

“Peruntukan yang kita minta dulu yang telah dipersetujui oleh kerajaan perlu dipercepatkan. Tak payahlah tunggu prosedur. Kita kena buat kerja cepat demi kepentingan awam,” katanya.

Menurut Syed Hamid Kerajaan sebelum ini telah bersetuju menyediakan peruntukan RM400 juta untuk memperbaiki sebahagian landasan keretapi di Gua Musang. Tetapi kini, jumlah itu mungkin tidak mencukupi kerana banjir yang melanda negeri itu telah mengakibatkan lebih banyak kerosakan di stesen-stesen lain di negeri itu.

Untuk kunjungan ke Kelantan pada Jumaat ini, Syed Hamid mempelawa mana-mana pengusaha teksi atau bas untuk menyertai konvoi mereka yang bertolak dari Kuala Lumpur pada awal pagi. Mereka yang berminat boleh menghubungi ibupejabat SPAD. – 7/1/05.






Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap