Syed Hamid Albar – cabaran jadi pengerusi SPAD lebih dahsyat daripada jadi Menteri...


Pada 3 Jun 2013 genaplah tiga tahun Tan Sri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar memegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Sepanjang tempoh itu pelbagai cabaran dan dugaan yang diharunginya memandangkan suruhanjaya yang dikemudinya itu sering menjadi sasaran kritikan orang awam, terutama pembangkang.

Tetapi pengalaman Syed Hamid dalam pelbagai bidang banyak membantunya menepis segala cabaran. Mana tidaknya. Syed Hamid pernah menjadi magistret, peguam, pegawai bank dan Menteri Dalam Negeri, jadi setakat orang kritik sana sini, tak jadi hal baginya.

Semasa bersembang dengannya baru-baru ini, Syed Hamid menceritakan, semasa Perdana Menteri serahkan tanggungjawab, dia telah beri amaran bahawa jawatan itu mencabar dan berprofil tinggi.

Tetapi Syed Hamid tak pula menyangka SPAD akan sentiasa mencari sasaran kritikan, terutama dari pembangkang.

“Saya ingat bila dah tak jadi menteri, saya tak payah berdepan dengan masalah orang ramai. Tetapi masalahnya lebih dahsyat daripada ketika saya menjadi menteri! Yelah, pasal kita berurusan dengan orang awam secara direct.

“Orang suka tengok hasil perubahan, tetapi pada masa yang sama sentiasa menentang perubahan. Bila benda itu bagus, dia puji…Wah..bagus! Tetapi selepas itu mula komen dan kritik.

“Mula-mula kena kritik yang pedas-pedas aja. Sakit juga. Tetapi lama kelamaan saya fikir, semua orang ada pendapat. Bagi saya, berbeza pendapat bukan satu perkara yang luar biasa,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata ketika mula-mula jadi pengerusi SPAD beliau terkejut apabila mendapati hampir semua staf di bawahnya, dari eksekutif sehingga ke pengurus, muda-muda belaka.

“Tetapi itu yang bagusnya. Saya puashati bekerja dengan golongan ini sebab mereka bertenaga dan banyak idea bernas. Kejayaan yang dikecapi SPAD sekarang bukan kerana saya sahaja, tetapi juga kerana mereka ini,” katanya.

Syed Hamid berkata selepas tiga tahun, apa yang membuatnya rasa seronok ialah dapat melihat jajaran LRT dipanjangkan dari Ampang ke Kelana Jaya dan gerabak KTM bertambah daripada empat kepada enam, monorel dan LRT daripada dua kepada empat.

“Semuanya saya dapat tengok berlaku di depan mata. Insyallah pada 2017 kita dapat tengok MRT yang pertama,” katanya dengan nada yang begitu teruja.

Beliau juga begitu seronok menceritakan SPAD kini sudah mulakan Bas Rapid Transit (BRT) serta lorong bas khas. Selain itu beberapa terminal baru sudah dibina. Menurutnya lagi, SPAD juga akan membina Park & Ride baru di beberapa koridor. Pada masa yang sama mereka sedang buat kajian untuk MRT 2 dan 3 keretapi laju.

Syed Hamid berkata, pada ketika ini 17 hingga 18 peratus rakyat Malaysia sudah memilih pengangkutan awam sebagai mod pilihan mereka. Katanya SPAD meletakkan sasaran, menjelang 2030 ia akan meningkat kepada 40 peratus.

Mengulas mengenai perkhidmatan bas percuma Go-KL, Syed Hamid berkata SPAD menerima banyak maklumbalas positif terutama daripada golongan muda. Apa tidaknya, bukan sahaja berhawa dingin tetapi tambang dan wi-fi adalah percuma. Katanya sehingga hari ini kadar purata penumpang ialah 15,000 orang sehari.

Ditanya, apakah cabaran paling sukar dihadapi sepanjang tiga tahun, Syed Hamid berkata, menggalakkan rakyat Malaysia melakukan anjakan paradigma atau transformasi pemikiran, iaitu bersedia menerima perubahan. Katanya bukan mudah untuk membuat orang kenal atau tahu apa yang SPAD buat.

“Ramai betul “pakar” pengangkutan awam darat. Mereka bukan pakar sebenarnya, tetapi semua orang tahu berkenaan pengangkutan awam darat secara langsung atau tidak langsung. Ini kerana ia mempunyai kesan kepada kehidupan rakyat. Jadi semua orang ada pendapat.

“Macam perkhidmatan Go-KL, pada kita, ia bagus.dan rakyat pun suka. Tetapi orang teksi pula mogok! Lepas itu ada masalah lori bawa lebih muatan, merosakkan jalan dan membahayakan keselamatan.

“Ada pula NGO yang tanya mengapa kos di negeri China lebih murah dari kita? Pada kita, perbandingan itu mungkin tak logik. Tetapi pada dia logik. Siap guna statistik dan data. Tapi dia lupa di China ada berapa ramai penduduk? 1.7 billion. Jadi mereka boleh buat apa sahaja dengan kos yang murah kerana economics of scale. Tetapi kita kena terima juga benda-benda macam ini,” katanya.

Syed Hamid berkata pada peringkat awal pembinaan MRT SPAD teruk kena kritik. “Fikirlah betapa susahnya nak ambil tanah orang apabila kita nak buat MRT. Pada peringkat awal MRT tidak ada syarikat, jadi SPAD yang kena buat. Kita kena jumpa orang, minta pandangan dan buat public display.

“Orang Malaysia celik kepada persekitaran baik di peringkat serantau atau antarabangsa, maka mereka banyak soalan. Kita tidak boleh ketepikan soalan itu. Kita kena beri jawapan yang memuaskan. Itulah cabaran paling sukar bagi saya,” katanya.

Bukan itu sahaja, malah satu lagi cabaran sukar bagi Syed Hamid ialah menangani masalah pemandu teksi kerana bilangan mereka yang ramai, iaitu 86,000 orang. Tetapi dia yakin jika masalah sistem teksi dapat diatasi, masalah lain akan jadi lebih mudah.

Bagaimanapun katanya, masalah lebih besar ialah apabila ada pihak cuba mempolitikkan isu pengangkutan awam darat.

“Kalau boleh, dalam isu pengangkutan awam ini kita tidak berpihak..Kita mahu bebas, tetapi pada masa yang sama menuruti dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. SPAD nak buat apa-apa program pun kena dapat dana dari kerajaan. Jadi kita kena ambilkira pandangan kerajaan.Kalau datang parti politik, susahlah.”

Diminta mengulas gesaan DAP supaya SPAD diletak di bawah kementerian pengangkutan, Syed Hamid berkata parti itu sering berubah pendirian.

“Saya tak tahu apa DAP hendak. DAP ini berubah ubah. Saya tengok mula-mula Tony Phua kata tak nak MRT. Dia kata penyelesaian untuk pengangkutan awam Kuala Lumpur ialah bas. Selepas itu dalam manifesto, dia masukkan MRT pula. Jadi saya tak faham.

“Tujuan SPAD diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana fungsi kita merentasi kementerian dan agensi. Orang yang mengawasi keseluruhan kementerian dan agensi adalah Perdana Menteri. Tetapi kita bekerja rapat dengan Kementerian Pengangkutan kerana Bidang Keberhasilan Utama Negeri (KRA) di bawah kementerian itu.

“Pada saya itu bukan isu. Saya tak tahu apa agenda DAP. Tiba-tiba saja sayang kepada Kementerian Pengangkutan. Selalunya dia attack kementerian itu. Kalau dia nak undang-undang ditukar, dia kena bawa pindaan. Jangan politikkan SPAD. Tugas kita mengatasi politik. Tetapi kita kena bertanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah.” – 22/5/13. -OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

Comments

Popular posts from this blog

LRT3 dari Bandar Utama ke Klang dibina tahun depan dan siap 2020

3 Bulan Untuk Mengambil Kad Bantuan Teksi 1Malaysia

30 minit dari Putrajaya ke KL bila MRT siap